Berilah

Baru saja sampai, disebabkan kesesakan yang teruk dek cuaca yang mencabar hari ini. Syukur, kali ini perjalanan lancar walau perlahan, akibatnya terlepas beberapa perkara yang sepatutnya dilangsaikan, tak apalah perancangan seorang manusia begitulah sifatnya.

.

Suatu ketika masa sekitar 2020 atau 2021 begitulah terjadi satu kecemasan. Sudah terbayang akan kesedihan yang bakal berlaku, lebih 2 atau 3 kali panggilan diterima dalam perjalanan menyelesaikannya. Sebaik saja tiba ditempat kejadian, keguguran telah berlaku, ianya terjadi disebabkan ibunya melalui satu perjalanan yang panjang hampir 2 hari perjalanan dan tekanan perubahan iklim yang dialaminya.

.

Sudah tentu saya merasa sedih, apatah lagi tuan punya ternakan, telalu sedih, apa yang boleh buat, ketika itu hanya saya dan dia yang berada disisi lembunya, bukan seekor, tetapi dua ekor ibu serentak keguguran berlaku selang 30 minit. Terasa mahu dihentak saja tanah, semahu-mahunya, dan dalam hati apalah nasib, sebab ibu ternakan tersebut sepatutnya meningkatkan pendapatan penternak itu.

.

Sesudah semua telah selesai dengan rawatan, penternak tersebut mengajak makan tengahari, dalam hati mahu saja ditolak, tapi ini peluang keemasan yang baik untuk memberikan suntikan motivasi kepada beliau. Dan diam-diam saya membayar, tapi ditolak, sudah masuk kawasan orang, itulah adatnya, beliau mahu mengubati kesedihan yang dialami dengan belanja orang.

.

Beliau berkata, “lebih baik genggam taik dari genggam kentut”, barang kali itu peribahasa beliau menggambarkan yang beliau tidak mahu berputus asa. Dan kini kedua-dua ibu ternakan tersebut telah memberi pulangan yang lumayan, objektif itu telah tercapai.

.

Semalam dan malam ini dua wajah yang kelihatan sama, kusut dengan pelbagai masalah kehidupan barang kali. Tuan punya bengkel kenderaan, begitu kusut sekali urat wajahnya, berakhir dengan mengurangkan bayaran, “doktor, saya belanja kali ni, terima kasih sebab selalu support saya”. Tak tergamak untuk bertanya apa masalah beliau, hanya mampu membalas “next service saya datang sini lagi”. Dan hilang kusutnya.

.

Saat baru sahaja selesai urusan tempat berteduh malam ini, bagi menempuh tempoh sesi pengajian, lalu seorang kanak-kanak sekitar usia 8 tahun, membawa jagung yang sudah siap direbus, untuk kali pertama saya menolak tawaran dia, lalu dia menuju ke meja lain, dan hilang. Dalam hati inilah peluang untuk membantu dia, mungkin itu untuk kelangsungan kehidupan yang mendatang dimusim tengkujuh kali ini.

.

Dia muncul sekali lagi dari arah bertentangan, ini memang rezeki dia, bertanya khabar, bertanya tentang produk yang dia jual, saya ambil sebungkus mungkin bukan untuk saya, tapi untuk dia, saya beli dua tapi ambil satu, yang satu lagi dia boleh jual kepada orang lain, atau boleh juga dia berikan kepada orang lain. Wajah yang kusut berubah keriangan, semoga meningkat dewasa dan menjadi orang yang berjaya suatu hari nanti.

.

Berilah seadanya, untuk melapangkan yang terasa kesempitan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *