Rasai

Pada awal Ramadhan yang lalu, saya melalui perjalanan penghijrahan, terlihat satu kejadian kemalangan, telah menyebabkan kesesakan jalan raya yang saya rasa sangat melecehkan, dan perasaan itu berubah menjadi hiba, bila melihat sebuah basikal yang kelihatan terlipat, kemalangan itu melibatkan seorang kanak-kanak seusia sekitar 5-6 tahun, dan seorang wanita yang lewat usianya saya fikirkan mungkin nenek kepada kanak-kanak itu.

Dia berlari dan sebaik sahaja sampai, dia menggerak-gerakkan tubuh yang kaku, ketika itu hujan, payung dilempar begitu sahaja, saya termenung sebentar sebab saya juga ada anak seusia itu, malah tidak mahu membayangkan jika itu berlaku kepada saya. Ianya sayu, berlalu sehinggalah saya menjenggah ibu kota.Saya menyusuri jalan yang mempunyai binaan gah indah, jalannya bertingkat-tingkat, kukuh disokong oleh banyak tiang konkrit yang besar, terlihat di bawah teduhan itu, seorang ibu dan dua orang anaknya, kedua-duanya sedang tidur, ibunya mengusap kepala anaknya.

Apakah itu keadaan kesempitan dalam kehidupan sedang mereka alami, ditengah kesenangan dan gahnya peradaban yang diperlihatkan. Ketika itu, hampir sahaja kepada waktu senja, ialah waktu itu baru sahaja sesudah asar, mereka tidur disitu, kelihatan sesak.Puasa, soalan ditanya apa maknanya? Hanya untuk menahan lapar dan dahaga? Jika itu maknanya, terimalah. Alangkah baiknya diperbesarkan lagi maknanya kepada “merasai sedikit ketidak cukupan orang lain” dan bagi yang cukup, berilah kepada mereka. Tiga puluh hari mencuba rasa apa yang tidak cukup. Pada hari raya, betapa mewahnya kita, kemudian disarankan lagi berpuasa. Supaya tidak kita lupa, susah, merasainya.

Yang susah mahu dipermudahkan,
Dipermudahkan diminta mudah lagi,
Dek menurut rasa ramai yang meminta,
lalu dipermudahkanlah lagi yang mudah itu,
Ketika yang memudahkan mula merasa susah,
Yang telah mudah tidak endah sudah.

Rasai, waktu senja itu unggas melata pulang kepangkuanNya, disaat malam tidurnya nyenyak kerana temboloknya telah berisi. Namun diniharinya, terbang semula ke seluruh jajahan yang mampu diterokainya. Kicau pada pelbagai nada, mungkin komunikasinya sampai, ada juga yang terbang tersungkur ke tanah juga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *