Rumah

Dua tiga hari lepas, saya dijemput untuk menyampaikan perkongsian tentang pembinaan kandang ternakan. Saya buka majlis itu dengan penerangan tentang rumah yang kita sendiri miliki, dan ianya adalah satu pesanan dan nasihat oleh seorang guru kepada saya.

Sebelum saya ceritakan, sila gambarkan bagaimana keadaan rumah yang tuan puan inginkan, ada yang beritahu mahukan rumah;

  1. Mewah
  2. Selesa
  3. Selamat
  4. Kukuh
  5. Cantik
    Dan pelbagai lagi.

Lalu saya teruskan penyampai, “dalam kehidupan ini, kita sebenarnya mempunyai 4 buah rumah”, kenyataan ini memberi pelbagai reaksi, ada yang tergelak dan ada yang mula bersorak “amboi doktor”.

Saya senaraikan hakikat 4 buah rumah itu;

  1. Rumah mak ayah kita, walau ke mana kita pergi, itu adalah rumah yang paling kita rindui. Pelbagai memori yang kita bina dengan ahli keluarga.
  2. Rumah kita sendiri, ini adalah rumah yang kita gunakan untuk membina kehidupan dan juga melahirkan lagi ramai kehidupan yang akan datang.
  3. Tubuh badan kita, itu tempat yang kita diarahkan untuk tinggal sepanjang hayat. Hanya ada dua ketika sahaja diizinkan kita untuk keluar dari tubuh badan kita;

a. ketika tidur, dan kita diarahkan balik semula, dan kemudiannya kita akan tersedar dari lena.

b. Saat kematian, ketika itu kita dilarang untuk balik semula.

  1. Tempat persemadian kita, kubur. Maka bersendirianlah kita, menghadapi apa sahaja yang berlaku ketika itu.

Lalu, terserahlah kepada tuan/puan, bagaimana cara, dan jenis hiasan apa yang akan tuan/puan letakkan ke dalam 4 buah rumah itu. Pilihannya terbentang luas, dan pilihan itu yang akan menentukan perkampungan mana yang akan kita sampai di akhir nanti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *